Thursday, April 16, 2009

Slogan ibarat nyanyian burung tiong


Slogan ibarat nyanyian burung tiong
Shirzad Lifeboat
Tue | Apr 14, 09 | 6:28:12 pm MYT
Di zaman Tun Dr. Mahathir, rakyat Malaysia dibuaikan dengan slogan "Malaysia Boleh". Yang tak boleh pun macam diperbolehkan juga, setidak-tidaknya di peringkat parti Umno sendiri.

Zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi pula rakyat diperdengarkan dengan dendangan "Cemerlang, Gemilang Terbilang." Berbekalkan slogan ini, Umno mengalami zamannya yang paling tidak cemerlang, paling tidak gemilang dan dirundung krisis kepercayaan rakyat sama ada dari kalangan Melayu dan bukan-Melayu.

Kini di bawah order baru parti, Presiden Umno merangkap Perdana Menteri memperkenalkan slogan "Satu Malaysia". Ramai yang agak sama ada keliru atau tidak memahami apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak menerusi slogan ini.

Apakah selama ini kita mempunyai lebih daripada dua Malaysia - Semenanjung dan Sabah Sarawak? Atau apakah kita ada banyak Malaysia?

Ada yang merasakan apa yang dimaksudkan oleh Najib ialah bahawa slogan itu membawa maksud 'satu sahaja rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan keturunan'. Tetapi nampaknya bukan begitu kerana sudah ada media pro-kerajaan yang mengatakan One Malaysia tidak sama dengan konsep Malaysian Malaysia.

Tapi rakyat tak perlu bimbang kerana seperti lazimnya, akan ada cerdik pandai termasuk cendikiawan yang akan menyampaikan ceramah, menulis rencana dan sebagainya menjelaskan dengan panjang lebar mungkin berserta dengan nota kaki dan rujukan tertentu mengenai konsep yang diperkenalkan oleh Najib ini sebagaimana yang dilakukan terhadap puluhan slogan yang diperkenalkan oleh semua Perdana Menteri lalu.

Tatkala Dr. Mahathir mengambil alih jawatan Perdana Menteri beliau memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur. Puluhan rencana, jika tidak ratusan yang ditulis mengenai betapa uniknya dasar ini sehinggakan digambar satu 'political breakthrough' dalam konteks politik dan pembikinan Negara.

Ketika itu, semua cerdik pandai bercakap tentang buku The Mind of The Strategist tulisan Kenichi Ohmae. Menteri Umno menjaja dasar ini ke sana sini.

Kini dasar tersebut sudah menjadi sejarah. Barangkali kepimpinan selepas Dr. Mahathir merasakan amalan dan budaya kerja rakyat Jepun sudah tidak relevan lagi kerana rakyat Malaysia sudah mencapai satu amalan dan budaya yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

Tapi itu juga akan berakhir sebaik sahaja pengasasnya Abdullah Ahmad Badawi pencen dari menjadi Perdana Menteri. Malah konsep Islam Hadhari yang, tidak cukup di Malaysia cuba diperkenalkan di seluruh dunia dengan kos sebanyak 'hanya Tuhan yang mengetahuinya jua' dikatakan akan dikaji semula.

Bercakap mengenai hal ini dan sekiranya 'kelebihan kos' atau cost benefit boleh diambil kira dalam mengukur pencapaian KPI mengenai mereka yang terlibat dalam mempromosikan konsep Islam Hadhari, bagaimana agaknya pencapaiannya? Berbaloi? Bagaimana pula tentang value for money?

Kini kita memasuki era One Nation dan dot dot dot. Kita tidak perlu bimbang kiranya kita tak faham atau keliru dengan slogan berkenaan. Dalam hari-hari mendatang kita akan diindoktrinasikan dengan pelbagai ceramah, ucapan, interview dan menemui pelbagai rencana dalam pelbagai media kerajaan mengenai slogan baru yang dibawa Najib ini.

Tidak mustahil akan terdapat sebuah atau beberapa buah lagu yang diklasifikasikan oleh pemimpin Umno-BN dalam kerajaan sebagai lagu patriotik mengenai slogan ini yang dijadikan slot dalam program televisyen dan radio.

Oleh itu, apa yang perlu kita lakukan hanyalah seperti mendengar nyanyian siburung tiong. Lunak dan merdu, tetapi apakah ia akan membawa sebarang anjakan bermakna kepada kehidupan rakyat Malaysia? - mks. _

1 comment:

Ibnu Abas said...

Satu Malaysia - Hanya slogan RETORIK yang tiada makna! Selagi parti perkauman wujud takda maknanya lah.. Ke Najib nk buat parti baru Dr? Hehe

Ciri-ciri pejuang bangsa:
1)Jual agama
2)Jual bahasa sendiri
3)Tembak, pijak, bantai bangsa sendiri
4)Kebas duit bangsa bagi kroni



References: Kamus UMMMM....NO!!