Wednesday, April 15, 2009

Sudah pencen baru tahu derita rakyat


Dulu masa jadi menteri tak pernah bayar tol...tak pernah merasa – demikian akhbar memetik ahli Parlimen Padang Besar, Azmi Khalid sebagai berkata ketika diminta mengulas kenaikan tol mulai 1 Mac yang diumumkan Menteri Kerja Raya ketika itu, Mohd Zin Mohamed.

"Dulu semasa jadi menteri tak pernah bayar tol, saya tak tahu berapa, tak pernah merasa. Tapi sekarang, saya tingggal di Shah Alam dan sering datang ke Kuala Lumpur dan melalui beberapa tol, saya sangat merasai beban tol itu. Kalau saya merasai, orang lain pun tentu merasai," kata yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Kenaikan kadar tol itu melibatkan Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Sungai Besi dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE).

Demikianlah manusia, selagi dia tidak alami sendiri, dia tidak tahu, itulah sebabnya dalam dunia ini banyak orang sombong, selepas masuk enam kaki dalam tanah barulah dia tahu hakikat kehidupan; malangnya semuanya sudah terlambat. Kalau sudah masuk ke kubur tiada ruang untuk kembali kerana perjalanan ke alam kubur (barzakh) adalah ‘one way ticket’ (perjalanan sehala, tiada kembali kembali).

Dalam kes Azmi, baguslah; dia mula sedar. Apabila sudah sedar mulakan langkah untuk memahami derita rakyat seterus berusaha membaikinya. Gunakan masa yang berbaki untuk menyantuni rakyat terutama di kawasan pedalaman yang benar-benar menderita; hidup mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Bagi orang miskin, keperluan mereka mudah saja iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Kalau perkara ini dapat dibantu dipenuhi oleh tokoh yang berkuasa seperti Azmi dulu alangkah baiknya; ini tidak, hanya selepas tidak lagi berkuasa baru dia mahu belajar penderitaan rakyat. Barulah tokoh-tokoh ini berkokok, bercakap mengenai penderitaan dan kesusahan rakyat.

Pemimpin berkuasa di Malaysia perlu difahamkan bahawa harga barangan makanan adalah mahal. Beras sebagai makanan asas begitu mahal. Sekampit 10 kilogram boleh mencecah sehingga RM25.00. Untuk menanak beras perlu bahan api. Harga gas setong adalah RM25.00. Kemudian perlu ada cili, asam garam dan ikan. Harga ikan cencaru dan kembong (lauk biasa rakyat miskin) sudah meningkat sehingga RM10.00 sekilogram.

Jadi bayangkan apa yang boleh dimakan oleh sebuah keluarga jika si bapa berpendapatan RM500 dan kurang sebulan! Tak percaya, pergilah ke kampung-kampung. Ada keluarga membeli beras setengah, sekilo atau dua kilo setiap hari; sayur cari sendiri di belakang rumah manakala untuk lauknya, si bapa akan beli ikan kering atau ikan yang sudah pecah-pecah perut (murah). Kalau yang lebih susah, mereka pergi ke lombong atau parit, cuba menangkap atau mengail ikan.

Dari segi pakaian saya percaya rakyat Malaysia tidak mengalami masalah sangat kerana iklim negara yang panas sepanjang tahun, tidak seperti sesetengah negara yang keadaan musim dingin yang memerlukan pakaian khas.

Namun orang miskin mempunyai mempunyai masalah dalam menyediakan pakaian dan kelengkapan anak-anak ke sekolah. Orang dewasa tidak berganti pakaian baru tidak mengapa tetapi anak-anak? Pakaian dan kelengkapan sekolah begitu mahal, perbelanjaan seorang anak saja pada awal tahun boleh mencecah sehingga RM300. Jadi bayangkan jika sebuah keluarga itu ada lima anak bersekolah, mana si bapa mahu mendapatkan RM1,500 sedangkan upahnya menorah getah dan membuat kerja kampung hanya RM500 sebulan?

Kemudian kita sentuh persoalan kediaman. Inilah antara masalah terbesar kebanyakan keluarga. Jika ketua keluarga dapat memenuhi keperluan makanan dan pakaian dan perbelanjaan rencah (seperti tambang bas, minyak motosikal dan belanja anak-anak ke sekolah) saja, bagaimana mereka mahu menyediakan bumbung untuk anak isteri masing-masing? Sebuah rumah kos rumah pun memerlukan sekurang-kurangnya RM30,000-RM35,000. Jadi ramailah yang terpaksa menyewa rumah sepanjang hayat. Atau duduk dan bikin rumah di kawasan setinggan.

Isu rumah atau kediaman adalah permasalahan berat. Orang seperti Azmi Khalid, Khir Toyo (bekas MB Selangor) dan ramai lagi menteri dan orang besar-besar mana mengerti derita rakyat dalam bab ini. Sebab itu pemimpin tidak peduli untuk merobohkan rumah rakyat di Kampung Berembang, Chubadak dan sebagainya.

Seperti yang diakui Azmi, sebelum ini dia tidak merasai membayar tol, jadi mana dia tahu derita rakyat. Sudah rasa, barulah tahu. Sudah pencen daripada jawatan berkuasa barulah tahu. Sesetengah pemimpin tak tahu atau buat-buat tak faham derita rakyat sebab itulah mereka lancarkan kempen Setinggan Sifar, menghancurkan rumah rakyat.

Orang yang sudah mengalami derita barulah dia memahami derita orang lain. Orang yang tidak pernah mendiami rumah setinggan, manalah dia tahu kesusahan tinggal di situ.

Pengalaman ini bagus; tetapi ada sesetengah orang walaupun dia pernah duduk di kawasan setinggan atau kawasan kampung dan pedalaman yang serba-serbinya kekurangan, apabila dia sudah mendapat kuasa dan kekayaan, dia lupa diri, dia menjadi lebih zalim, sombong dan bongkak daripada orang yang dilahirkan di istana. Inilah pemimpin yang tidak sedar diri; dia hanya akan insaf selepas tanah masuk ke dalam mulut dan perutnya (dalam kubur)!

Kepimpinan negara sudah bertukar tangan. Satu persoalan besar yang perlu difikirkan apakah seorang yang dilahirkan di ISTANA seterusnya hidup mewah sepanjang hayat dapat memahami derita rakyat miskin apabila dia menjadi orang nombor satu nanti? Tahukah dia harga sekilo beras, kembung, cili atau sekampit gula?

Harap-harap dia dan isteri serta keluarga dapat MENGUBAH GAYA HIDUP pada kemuncak kuasa nanti!
by Lanh14

No comments: