Penulis seorang lelaki tetapi kali ini mahu mengutuk golongan sejenis. Kini semakin ramai lelaki termasuk dalam ‘spesies tidak berguna’ – misalnya di sekitar kediaman penulis, ada beberapa bujang terlajak yang enggan bekerja, ada yang menghisap dadah dan ada pula yang hanya tahu makan, minum dan tidur saja.Di persekitaran pejabat penulis, ada juga beberapa lelaki ‘tidak berguna’. Bahasa yang penulis pakai memang kesat, maafkan penulis, tetapi itu adalah hakikatnya.Seorang pemuda yang penulis kenali sebagai Ramli, suka sangat duduk, baring dan tidur di sebuah masjid berhampiran (Balai Islam). Kerja bujang terlajak dalam usia kira-kira 35 tahun ini, meminta-minta wang daripada pengunjung. Kadang-kadang dia mengorek-gorek tabung derma. Dalam meminta-minta itu, kerap juga dia merokok.Sudah berbuih mulut penulis menasihatkan dia agar mencari kerja. Kalau tidak dapat kerja, cari dan kumpulkanlah kertas, kadbod, besi buruk atau bekas tin minuman untuk dijual. Itu lebih baik untuk menampung diri daripada berterusan meminta-minta, kata penulis padanya.Suatu hari penulis lihat Ramli bekerja di sebuah gerai. Tetapi kejap saja. Katanya, dia tidak sesuai bekerja. Kerja penat, katanya. Saya katakan kepadanya mana ada kerja yang tak penat. Dia tidak peduli. Maka tidur baringlah dia di masjid sepanjang hari dan untuk makan minum, dia meminta-minta daripada pengunjung.Saya katakan kepada dia, lebih baiklah dia keluar mencari kayu api (berdasarkan hadis Nabi s.a.w.) daripada duduk ‘berlingkar’ dalam masjid. Dia buat tidak tahu; jadi lebih baiklah saya tutup mulut daripada menasihatinya lagi.Demikianlah semakin ramai lelaki yang ‘tidak menjadi’ berbanding perempuan dewasa ini. Di universiti, di tempat kerja; kebanyakannya dikuasai perempuan. Orang lelaki sudah hilang, ke mana agaknya mereka? Agaknya perempuan sibuk ke universiti mereka sibuk ke pusat serenti.Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Seri Profesor Ibrahim Abu Shah mengakui siswi melebihi pelajar lelaki dalam jumlah yang besar. Kementerian Pendidikan Tinggi menganggarkan nisbah pelajar lelaki/perempuan di IPT adalah 40:60 manakala ada pihak meletakkannya 35:65, malah 30:70.Apabila semakin ramai warga perempuan mendapat pendidikan tinggi dan memenuhi pelbagai profesion pekerjaan, sedangkan semakin ramai lelaki ‘tidak menjadi’, tentulah ia mendatangkan pelbagai natijah buruk kepada masyarakat. Kini anak gadis semakin sukar mendapat pasangan hidup yang sekufu kerana lelaki ‘tidak berguna’ semakin banyak di pasaran.Penulis tidak berhajat mengulas ketandusan lelaki berkualiti untuk dijadikan suami oleh wanita yang semakin ramai berpendidikan tinggi, tetapi lebih berminat memberi perangsang kepada lelaki yang sengaja memasukkan diri mereka dalam kategori ‘jantan tak berguna’.Ini kerana lelaki dalam kumpulan inilah yang semakin bertambah dalam masyarakat. Ada yang mahu membujang sampai mati sebab tidak mahu bertanggungjawab (kalau kahwin kena sara keluarga), ada yang sudah hanyut dalam dunia dadah (asyik suntik diri sendiri), ada yang malas tidak mahu bekerja dan ada pula yang mahu orang lain menanggungnya.Ramai lelaki kecewa, tidak mahu ambil ‘pot’ akan kehidupan mereka, seolah-olah tidak mahu hidup lagi. Kehadiran mereka kononnya tidak membawa erti kepada sesiapa pun. Ini tidak benar kerana seorang bijak pandai mengingatkan bahawa seekor nyamuk pun boleh menggugat kehidupan seseorang apatah lagi seseorang manusia, dia mempunyai peranan besar dalam kehidupan orang lain.Dalam saya merenung-renung akan kehidupan ‘jantan tidak berguna’ yang berada di persekitaran saya, saya ketemui sebuah artikel dalam risalah Suara Al-Azim (Masjid Negeri Melaka) bertarikh 10 April 2009 sangat menarik yang mungkin dapat merangsang orang yang berasakan diri mereka tidak berguna lagi.Antara lain dalam rencana ‘Demikianlah Masa Menceritakan Kepada Kita’, ditulis: “Makhluk yang paling rendah dan hina di alam ini adalah adalah manusia yang hidup sehariannya hanya makan, minum dan tidur. Sumber manfaat dalam dirinya sudah tidak mengeluarkan air lagi, lembah kebaikannya sudah kering, oleh itu kewujudannya berhak untuk tidak dianggap kerana ia telah menghapus namanya dari daftar kehidupan, menghapus nombornya dari papan pencatat karya dan pengorbanan.“Ia umpama berada dalam kematian, perbezaannya bahawa ia masih makan dan minum. Ia pun telah berada di alam kubur, perbezaannya ia masih tertawa dan tidur. Orang-orang seperti ini mempunyai peranan yang besar dalam kenaikan harga barang keperluan utama, kerana banyaknya makanan yang ia santap. Ia juga memiliki peranan yang besar dalam mengakibatkan terjadinya kekeringan, kerana banyaknya air yang ia minum.”Saya mengamati-amati apa yang ditulis ini, dan tidak dapat mengelakkan daripada mencari persamaan dalam cara hidup ‘jantan tak berguna’ yang semakin ramai sekarang ini. Ya, berhampiran rumah dan pejabat saya ada jantan jenis ini; kerjanya makan dan tidur pada siang hari dan keluar pada waktu malam. Ada yang ‘berlingkar’ macam ular sawa di masjid pada ketika orang sedang sibuk bekerja dan apabila lapar, tanpa segan akan meminta-minta kepada pengunjung. Akhir sekali, harap-harap penulis tidak termasuk dalam kategori ‘jantan tidak berguna’ ini kerana ‘bercakap atau menulis tidak serupa bikin’ atau kata orang, ‘nyamuk di sebarang lautan nampak, gajah di depan mata tidak nampak’.Penulis sedar siapa diri ini untuk menyatakan seseorang itu berguna atau tidak berguna kerana hakikatnya Allah SWT yang tahu nilai seseorang itu. Lagi pun penulis tidak tahu sama ada diri ini bernilai atau tidak di sisi manusia lain apatah lagi di sisi Allah SWT. Untuk itu penulis memohon seribu kemaafan, apa yang ditulis hanya berdasarkan luaran (fizikal) untuk mengingatkan diri sendiri dan pembaca agar tidak tergolong dalam kumpulan ‘jantan tak berguna’.
Posted by Lanh Sr. at 10:05 AM
No comments:
Post a Comment