Thursday, February 19, 2009

Perbicaraan pelik, Altantuya dibunuh kejam tanpa motif?

Herman Samsudeen Thu Feb 19, 09 6:06:12 pm MYT

Mengikuti perbicaraan kes Altantuya Shaariibuu, akhir-akhir ini, terasa seperti ada sesuatu yang tertinggal, iaitu motif pembunuhan. Cif Inspektor Azilah Hadri, 33, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 37, telah dipanggil membela diri pada 31 Oktober tahun lalu manakala tertuduh ketiga Abdul Razak Abdullah Baginda dibebaskan. Timbalan Pendakwaraya Manoj Kurup dalam hujah terakhirnya semalam menyatakan bahawa,"kedua-dua tertuduh kini saling bersaing untuk meraih hadiah bagi fiksyen terbaik yang diberitahu di Mahkamah dan kedua-dua versi patut ditolak kerana tidak berjaya mewujudkan keraguan munasabah berhubung kerumitan dan kesalahan dalam pembunuhan Altantuya."
Walau bagaimanapun, sepanjang sesi pengulungan itu beliau tidak menyatakan motif pembunuhan Altantuya. Beliau hanya menekankan bahawa kedua-dua tertuduh memang terlibat dengan niat dalam kes pembunuhan ini.
Walaupun disangkal dalam hujah pembelaan bahawa kedua-dua tertuduh menjadi kambing hitam atas tindakan orang-orang tertentu, namun pihak pendakwaan tidak mengajukan apa-apa soalan untuk mendedahkan siapakah dalang sebenar kes itu.
Pendakwaan jelas seolah-olah ingin menghalakan kesalahan ini kepada Azilah dan Sirul sahaja tanpa ada usaha membongkar penglibatan pihak lain dalam kes ini. Dalam sesi pembelaan pendakwaan hanya tertumpu pada soal kedudukan dan alibi Azilah dan Sirul pada malam kejadian.
Kesilapan yang sama dibuat oleh peguambela mereka di mana tiada seorang pun yang ditanya atau diminta untuk mendedahkan nama pihak ketiga yang menjadi dalam.
Kes ini seolah-olah tergantung pada leher Azilah dan Sirul dalam keadaan mereka kini tersepit.
Apakah kemungkinan mereka masih ditekan dan diugut untuk tidak membongkar kes ini keseluruhannya?
Jika beberapa Ahli Parlimen dan Adun yang duduk di luar ini ada mengadu bahawa mereka dan keluarga mereka diugut serta diganggu sepanjang waktu oleh pihak tertentu yang mahukan mereka lompat parti. Apakah perkara yang sama tidak boleh berlaku pada Azilah dan Sirul yang kini berada di dalam.
Bagaimana nasib keluarga mereka. Mungkinkah mereka dibisikkan nada-nada ugutan agar tidak mendedahkan nama-nama mereka yang terlibat sebenarnya.
Secara peribadi, saya bersetuju dengan permohonan peguambela Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili koperal Sirul Azhar Umar, dalam hujahnya, meminta agar ketiga-tiga tertuduh asal kes itu - termasuk penganalisis politik itu yang dibebaskan tanpa diminta membela diri - dibicarakan semula.
Beliau juga berhujah bahawa kes itu patut dibicarakan semula kerana saksi utama, DSP Musa Mohd Safri, yang merupakan pengiring Timbalan Perdana Menteri, tidak dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan tersebut.
Kamarul Hisham turut berhujah bahawa pelanggannya telah dipersalahkan atas jenayah yang dilakukan oleh orang lain.
Menurutnya, pihak pendakwaraya gagal mengemukakan bukti lengkap mengenai pembunuhan Altantuya tetapi hanya mahu orang mempercayai bahawa Sirul terbabit dalam pembunuhan wanita Mongolia itu dan membuang semua bukti fizikal kemudiannya.
Secara keseluruhannya, penghujung perbicaraan kes Altantuya ini tidak memberikan sebarang jawapan yang dikehendaki oleh keluarga mangsa atau pun pihak mahkamah dan pemerhati yang ada.
Motif pembunuhan tidak jelas dan tidak logik seseorang itu boleh membunuh tanpa motif atau sebab. Malah pengakuan Sirul bahawa beliau adalah kambing hitam wajar diberi perhatian yang serius. Sama ada ianya fiksyen atau tidak, pendakwaraya perlu menyiasatnya bagi mengetahui sejauhmana kebenaran itu.
Kini terpulanglah pada mahkamah untuk menentukannya. Saya tidak berniat untuk mempengaruhi keputusan mahkamah, apatah lagi ianya sekadar pandangan dari sisi ketiga seorang pemerhati bebas.
Hakikatnya kes ini tidak boleh ditutup begitu sahaja selagi motif pembunuhan tidak diperjelaskan. Ini penting bagi mencerminkan imej keadilan dalam sistem perundangan negara di mata dunia. Kita tidak boleh menghukum sebahagian orang yang bersalah dan membiarkan sebahagianya dalam keadaan yang amat meragukan. - mks. _

No comments: