Thursday, March 5, 2009

Petah berbahasa Inggeris bukan jaminan sesuatu bangsa maju

Petah berbahasa Inggeris bukan jaminan sesuatu bangsa maju
Irwan Muhammad Zain
Thu | Mar 05, 09 | 10:12:03 am MYT
KUALA LUMPUR, 5 Mac (Hrkh) - Kepetahan berbahasa Inggeris bukan jaminan maju atau mundurnya sesuatu bangsa malah terdapat bukti negara yang mengutamakan bahasa ibunda jauh lebih maju dari mereka yang terikut-ikut dengan meninggalkan bahasa sendiri, tegas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob.



Dengan mengambil contoh kemajuan yang dicapai oleh negara Jepun dan Korea, Salahuddin menegaskan rakyat kedua-dua negara tersebut tidak malu untuk menggunakan bahasa ibunda mereka.

"Malangnya di negara ini ada pihak yang cuba menafikan keupayaan bahasa Melayu malah berusaha untuk membunuhnya juga," tegas beliau dalam satu dialog PPSMI: Membangun atau meruntuhkan bangsa yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa malam tadi.

Beliau juga melahirkan rasa hairan dengan sikap sesetengah pihak yang malu dengan bahasa sendiri.

Setiap rakyat tegas beliau sepatutnya berbangga dengan bahasa Melayu kerana telah terbukti keupayaan bahasa itu suatu masa dahulu.

"Perjanjian Pangkor dibuat dalam bahasa Melayu dan menggunakan tulisan jawi,

"Ini membuktikan penjajah Inggeris mengiktiraf bahasa Melayu dan memahami pentingnya bahasa ibunda sesuatu bangsa," tegas beliau.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yakin bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu diperingkat antarabangsa dan untuk mencapai tujuan itu kerajaan perlu melangkah ke depan bukan berundur ke belakang.

Mengulas mengenai cadangan Pemuda PAS untuk berdebat dengan Pemuda Umno dalam isu PPSMI semata-mata kerana mahu memartabatkan bahasa Melayu.

Selain Salahuddin, dialog itu turut disertai oleh Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Dato' Dr Hassan Ahmad, Ketua Angkatan Muda KeADILan Shamsul Iskandar Mohd Akin, Setiausaha Agung PKPIM Khairul Anwar Shazali dan ahli Parlimen Pasir Salak Dato' Tajuddin Abdul Rahman.

Sebelum dialog dimulakan, penyair Dinsman memulakan majlis dengan membaca dua buah sajak iaitu PPSMI 2 dan Macam Orang Gila yang mendapat tepukan penonton.

Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam hujahnya menegaskan pemimpin Umno yang mahu menjaga ketuanan Melayu bertindak membunuh bahasa Melayu.

Beliau menegaskan apa yang dilakukan oleh GMP demi masa depan bangsa dan bahasa Melayu.

Sementara Dato' Dr Hassan Ahmad pula menegaskan telah terbukti sesuatu bangsa itu mampu membina ketamadunan dengan menggunakan bahasa ibundanya. - tmj_

1 comment:

AnDeH said...

entry yg sgt menarik dari Dr A..
heheee~
-Andeh-