Sunday, April 19, 2009

PPSMI: Menteri bagai ayam menang sorak...


PM baru, menteri pun baru. Tetapi isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) belum selesai. Demonstrasi 100,000 rakyat sudah, pilihan raya kecil membabitkan 'dua bukit' pun sudah, Hishammuddin Hussein pun sudah dimasyhurkan Naib Presiden Umno, tetapi jalan penyelesaian PPSMI tiada cahaya di hujung terowong.

Hishammuddin sudah berkokok kerana menang, tetapi masalah (ekor) terus bergelumang dengan tahi. Pelajar kumpulan pertama yang mengikuti sepenuhnya PPSMI, kini sudah berada di kelas Tingkatan Satu hampir setengah tahun, tetapi tiada berita PPSMI itu akan diterus atau dimansuhkan.

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kumpulan pelajar pertama itu yang keputusannya diumumkan pada 13 November tahun lalu, adalah yang pertama membabitkan murid mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sepenuhnya ketika mereka memasuki Tahun Satu pada 2003.

Ertinya, seramai 518,616 pelajar Tahun Enam itu adalah kumpulan perintis kepada program PPSMI. Sebanyak RM5 bilion telah diperuntuk dan dibelanjawan bagi menjayakan program yang dipaksakan Perdana Menteri sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini kembali aktif berpolitik termasuk berkempen di Bukit Gantang.

Apabila keputusan diumumkan, Menteri Pelajaran ketika itu, Hishammuddin Hussein, dengan segera mengumumkan bahawa PPSMI tidak gagal. Apabila beliau berkata PPSMI tidak gagal, bermakna ia berjaya. Jadi apa sebenarnya kejayaan PPSMI?

Secara kasarnya, kejayaan itu diukur daripada ramai pelajar memilih menjawab soalan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, manakala subjek Bahasa Inggeris menunjukkan peningkatan kelulusan di sekolah-sekolah kebangsaan.

Perangkaan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Dato’ Alimuddin Mohd Dom, menunjukkan daripada 518,616 murid terbabit, 159,234 calon menjawab soalan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Jumlah yang menjawab dalam bahasa Inggeris saja ditonjolkan sedangkan hakikatnya 359,382 murid lagi menjawab dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda mereka seperti Cina.

Berhubung perkara ini, kita ingin bertanya apakah kejayaan yang dibangga-banggakan itu kerana tidak sampai separuh murid menjawab dalam bahasa Inggeris sedangkan sepanjang enam tahun persekolahan mereka belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris?

Murid-murid di sekolah jenis kebangsaan Cina agak beruntung kerana mereka belajar Sains dan Matematik dalam dwi-bahasa (Inggeris dan Mandarin) tetapi murid di sekolah kebangsaan belajar sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Apabila di sekolah tidak diajar dalam bahasa Melayu, bagaimana budak-budak ini memilih untuk menjawab dalam bahasa Melayu pula?

Siapa punya idea untuk menyertakan soalan dalam bahasa Melayu pada saat-saat akhir sedangkan pada sebelum ini pihak kementerian dengan bangganya menguar-uarkan PPSMI berjalan mengikut landasan dan UPSR 2008 akan membuktikan perkara itu? Jadi apa yang berlaku sebenarnya dalam dunia pendidikan kita apabila murid belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tetapi menjawab dalam bahasa Melayu? Tidakkah ini menunjukkan sistem pendidikan kita mengalami kecelaruan yang amat hebat?

Kemudian, rakyat terutama ibu bapa dikelabui dengan sorakan ramai calon mencatat keputusan cemerlang. Pada UPSR 2008 ini, dicanangkan 46,641 orang atau 9.2 peratus mendapat semua A (5A atau 6A) dan bagi mengukuhkan dakwaan bahawa PPSMI berjaya meningkat penguasaan bahasa Inggeris murid, dilaporkan peratusan kelulusan subjek Bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan meningkat 4.4 peratus.


Malangnya, dalam semua analisis keputusan, tidak dinyatakan markah lulus dan markah penganugerahan gred. Mungkinkah markah untuk lulus subjek-subjek ini 20 peratus dan untuk mendapat A, 70 peratus?

Apa pun, kita mengharapkan masa depan anak-anak kita tidak dipertaruhkan pemimpin berkepentingan politik yang menjerumuskan generasi masa depan kepada situasi menang sorak kampung tergadai. Berhubung perkara ini, kita tertarik dengan jaminan kementerian untuk mendalami isu PPSMI melalui satu persidangan meja bulat membabitkan tokoh dalam pelbagai bidang tidak lama lagi.

Pandangan dua tokoh pendidikan ini sewajarnya menginsafkan kita: “Pergantungan terhadap statistik seperti jumlah calon mendapat 5A atau menjawab soalan dalam bahasa Inggeris bagi menetapkan pelaksanaan dasar pendidikan tidak wajar kerana ia tidak menggambarkan keupayaan seluruh pelajar.” – Profesor Diraja Ungku Aziz

“Kita akan melihat bahasa Melayu akan terus ketinggalan dan akhirnya menyebabkan kematian bahasa kebangsaan itu sendiri.” – Tan Sri Abdul Rahman Arshad (bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia).

Demo sudah, pilihan raya pun sudah; apa pula selepas ini?
Posted by Lanh Sr. at 12:07 PM

No comments: