Monday, May 7, 2012

Majlis Fatwa: Jangan berjalan sebelah kaki, pincang atur langkah

07 Mei 2012


Saya membaca laporan akhbar tentang kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Hussin tentang Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang dan kekacauan di dalam negara. Menurut laporan akhbar, beliau menyatakan bahawa Islam membenarkan mencari keadilan tetapi melaui tindakan beradab.

Saya setuju bahawa perhimpunan yang bertujuan untuk mencetuskan huru hara dan merosakkan harta benda adalah haram. Bagaimanapun, apabila dikaitkan dengan himpunan BERSIH 3.0 yang dikatakan menimbulkan huru hara, saya berpandangan bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan dengan hanya menggunakan sebelah mata. Mata yang digunakan pula adalah kabur dengan cermin mata yang telahpun rosak. Saya menghormati ahli-ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dengan setinggi-tinggi perhormatan namun dalam hal ini saya amat berbeza dengan pendirian yang dikemukakan oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ini.

Tidakkah disedari bahawa Himpunan Bersih 3.0 bukannya bertujuan untuk mencetuskan huru-hara? Himpunan ini menggariskan lapan tuntutan untuk membersihkan pilihanraya bukannya mencetuskan huru-hara jauh sekali untuk menjatuhkan kerajaan melalui jalan raya. Jika dikatakan menggunakan cara beradab dibenarkan, maka suka saya bertanya, apakah jalan beradab yang lebih aman melainkan pergi dan duduk? Pernahkah Majlis Fatwa memandang dan memahami di sebalik lapan tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH untuk mengatasi isu pengundi hantu dan penipuan di dalam pilihanraya yang implikasinya lebih besar kepada negara? Saya yakin bahawa fatwa ini hanya laporan akhbar pro kerajaan sahaja tanpa mendapat penjelasan dari penganjur BERSIH 3.0 sebelum membuat pertimbangan. Justeru, soalan saya ialah fatwa kah namanya sekiranya tanpa penjelasan dari kedua-dua belah pihak, terus sahaja dijatuhkan hukuman?

Huru-hara tercetus jika ia dihalang. Andaikan himpunan di Gua Musang dan RCT, Kota Bharu ketika kedatangan Perdana Menteri baru-baru ini ke Kelantan dihalang dan disembur dengan air, tidak mustahil ia turut menjadi huru-hara. Jika BERSIH berhimpun dianggap haram, apa pula hukum perhimpunan Presiden UMNO di Gua Musang dan RCT baru-baru ini yang tujuannya jelas mengajak rakyat menukar kerajaan Kelantan?

Justeru cukuplah saya mengatakan, jangan berjalan sebelah kaki, nanti pincang mengatur langkah. Salam hormat saya buat Majlis Fatwa Kebangsaan.

Dengan hormat,
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS).
Bertarikh : 15 Jamadil Akhir 1433H bersamaan 07 Mei 2012M

No comments: