Monday, January 21, 2013

Hentikan proses pembodohan di IPTA!

Ahmad Lutfi Othman, 22 Jan 2013
Kontroversi "video Listen!" menyedarkan kita bahawa proses "brainwashing" dan "pembodohan" masih berterusan di kampus-kampus. Dan ia dilakukan secara terbuka serta dinaungi pihak berkuasa.

Lebih mengejutkan, majoriti mahasiswa, seperti dapat dikesan melalui paparan video berkenaan, nampak agak "kebingungan". Seolah-olah mereka bertepuk dan bersorak tanpa mengetahui hujung pangkal.

Terima kasih kepada ledakan teknologi maklumat dan keajaiban dunia komunikasi hari ini yang "secara tidak sengaja" telah mendedahkan  "penghinaan terhadap intelektual anak-anak muda" dan realiti sebenar di menara gading.

Sehingga 21 Januari, pengunjung klip video tersebut di YouTube mencecah lebih 960,000. Sekelip mata, pelajar tahun kedua undang-undang Universiti Utara Malaysia, KS Bawani dikenali ramai dan begitu popular.

Ada pihak melihatnya sebagai mengulangi jejak Adam Adli dan Umar Mohd Azmi, tetapi saya kira kes Bawani lebih klasik lagi.

UUM sejak sekian lama  dikenali sebagai antara universiti yang sukar memberi ruang selesa buat warganya menjalani kehidupan sebagai cendekiawan. Pernah mendapat jolokan "Universiti Untuk Mahathir" dan kewajiban mahasiswanya memakai "tali leher di tengah ladang getah" sering dijadikan bahan ketawa.

Saya teringat peristiwa lucu (dan juga tragis) pada akhir 1980-an, semasa menziarahi rakan-rakan pemimpin gerakan pelajar di Taman Siswa, Bandar Darul Aman, dekat Jitra (UUM ketika itu masih di kampus sementara).

Saya terpaksa dibawa menyelinap dari satu rumah ke rumah yang lain, kononnya untuk mengelabui pengawal keselamatan. Mereka cukup bimbang pelajar UM dipengaruhi "anasir asing".

Difahamkan, agak kerap pihak HEP melakukan pemeriksaan mengejut (spot check) ke atas bilik pengenapan mahasiswa yang disyaki menyokong pembangkang (PAS). Bukti yang dijumpai hanyalah buku-buku mengenai gerakan Islam!

Proses "cuci otak" ini -- seperti lagak Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin -- bukan hanya tertumpu di UUM atau kampus IPTA yang lain, khususnya di UiTM dan kampus-kampus yang agak muda usianya, malah melibatkan kakitangan awam di setiap peringkat, terutama dikendalikan Biro Tata Negara (BTN).

Program "brainwashing" itu selalunya dianjurkan secara tertutup, sarat dengan sentimen perkauman dan berselindung di sebalik faham agama yang sempit. Walhal tujuan sebenarnya hanyalah untuk mempertahan dan mengukuhkan kuasa Umno-BN.

Lagu "Anak Kecil Main Api", yang dinyanyikan di Perhimpunan Agung Umno 2012 merupakan mantera yang sentiasa diulangi dalam program indoktrinasi itu sehingga "bercucuran air mata" mengenang nasib malang "bumi dipijak milik orang". Alahai!


Bawani juga mengenangkan saya satu lagi peristiwa "memalukan", kali ini di kampus tertua, Universiti Malaya. Cuma adegan tersebut tidak dirakam dalam YouTube, sebaliknya hanya sekeping gambar mati.

Tarikhnya, 10 Februari 2011. Sekumpulan 20 mahasiswa UM dihalang secara tidak bertamadun daripada mengadakan sidang media, membantah beberapa peraturan pilihan raya kampus, yang sememangnya sengaja digubal untuk memberi laluan sukar kepada kumpulan Pro-M.

Tiba-tiba sahaja seorang pengawal keselamatan bertindak nekad menekap mulut seorang aktivis mahasiswa ketika beliau mahu memberi ucapan dalam sidang media itu. Gambar itu memang klasik dan patut diabadikan dalam sejarah "pembodohan massa" ini!

Dalam video Listen itu juga menyerlahkan bagaimana mahasiswa UUM dimomokkan dengan propaganda murahan mengenai demonstrasi jalanan, khususnya Bersih. S Ambiga diburukkan imejnya secara terbuka, begitu juga dengan pemimpin Pakatan.

Dan ketara sekali Sharifah dan konco-konconya mahu memaksakan pandangan mereka terhadap mahasiswa secara unilateral.

Cuma, saya kasihan melihat gelagat seorang pemimpin pelajar yang mengetuai bacaan ikrar-- yang kontang nilai dan maknanya -- rasanya Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa UUM. Nampak dengan jelas beliau seperti "diperbudakkan" oleh Sharifah.

Saya turut bersimpati dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah, yang dilihat begitu bersungguh-sungguh, malah ikhlas, mahu membebaskan universiti daripada segala elemen yang merendahkan martabat ilmu dan ilmuwan.

Pada 5 Januari lalu, saya mengikuti forum anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang membincangkan pembabitan pelajar dalam PRU13, termasuk sebagai calon pilihan raya. Saifuddin yang diundang sebagai penalis (dan bersedia hadir) memberikan buah pandangan dan reaksi menarik, serta mengemukakan beberapa cadangan untuk mengembalikan status universiti ke landasan asalnya.

Saya kira Saifuddin keseorangan dan tidak mendapat sokongan, bukan sahaja daripada pemimpin Umno-BN, malah idea pembaharuannya itu diremehkan oleh pentadbir tertinggi universiti.

Baru-baru ini, beberapa universiti mendapat naib canselornya yang baru dan mereka yang dilantik itu merupakan bekas timbalan naib canselor yang menjaga hal ehwal pelajar. Sepanjang mengetuai HEP, permusuhan mereka  dengan mahasiswa yang mahukan perubahan begitu ketara.

Lebih menarik, mereka juga terbukti begitu aktif menekan persatuan pelajar dan turut memomokkan isu demonstrasi jalanan ini, seperti dilakukan Sharifah Zohra Jabeen dalam forum di UUM, pada 8 Disember 2012 itu.

Seorang profesor menulis surat kepada saya memaklumkan ia bukan satu kebetulan. Katanya, memang sengaja dipilih pegawai kanan yang berjasa  "menjinakkan" pelajar, sekali gus menyumbang kepada kepentingan elit penguasa itu sendiri. Mereka juga mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Umno.


Sepatutnya kes Bawani ini membuka jalan untuk kita meneropong dengan cermat apa sebenarnya berlaku di kampus-kampus?  Ia bukan saja menghimpit kehidupan mahasiswa tetapi juga "memenjarakan" para pensyarah dan kakitangan akademiknya. Kemudahan yang mereka terima dan lingkungan  universiti juga cukup daif dan langsung tidak menyuburkan tradisi ilmu.

Ada kalangan akademia yang masih memegang teguh idealisme terpaksa menelan segala peraturan dan situasi yang mengongkong itu asalkan dapat terus berbakti buat anak bangsa.
Dr Maszlee Malik sempat berkongsi "keperitan" tersebut dalam forum bersama Saifuddin itu. Saya kira sampai masanya perjalanan IPT di negara kita dibedahsiasat secara holistik ... atau mungkin proses itu lebih mudah jika kerajaan persekutuan bertukar tangan, insya-Allah.

II.

Ramai pembaca yang masih tidak puas dengan foto-foto menarik Himpunan Kebangkitan Rakyat yang kami siarkan. Mereka mahu melihat lebih banyak gambar "candid" terutama yang menggambarkan sisi-sisi istimewa, seperti gandingan masyarakat pelbagai kaum melangkah seiring menuntut hak.

Satu daripada tohmahan media Umno ialah penglibatan rakan-rakan Cina yang didakwa jauh merosot berbanding Bersih 3.0. Beberapa rakan FB saya menunjukkan bukti bergambar bahawa mereka mendapat ramai kenalan baru, dari masyarakat Tionghua.

"Di sebelah saya adalah seorang ahli perniagaan Cina berjaya, bergelar Dato'," kata seorang daripadanya. "Saya perhatikan banyak juga yang dia dermakan," tambahnya. Ada gambar disertakan dalam emel saya.

"Semasa berjalan dari Jalan Sultan dan Bukit Bintang, saya perhatikan ramai kawan-kawan Cina, cuma mereka seperti tidak selesa masuk ke stadium, dan ramai di antara mereka yang tinggal sekitar Lembah Klang,  mahu memberi peluang kepada orang luar," ujar seorang rakan saya yang turut berarak lebih 10km.

Saya sendiri tidak berminat untuk menafikan tuduhan Utusan Malaysia itu. Semua sudah maklum gaya pemberitaannya, seperti juga TV3.

Namun begitu, bagi saya, kita terima sajalah laporan itu. Bukankah selama ini dibayangkan Pakatan Rakyat -- termasuk PAS yang dilihat agak menyerlah dalam HKH itu -- tidak mendapat sokongan bulat daripada masyarakat Melayu?

Orang Tionghua dikatakan bakal memberi undi tidak berbelah bahagi kepada Pakatan hinggakan  majoriti daripada 15 wakil rakyat MCA yang ada disebut-sebut akan tewas dalam PRU13.

"Orang bukan lagi bercakap soal berapa ramai ahli Parlimen MCA nanti, tapi orang berbicara soal berapa ramai lagi ahli MCA yang ada," kata seorang pemimpin kanan Pakatan, dalam nada bergurau.

Saya tidaklah sampai begitu sekali mahu memperkecilkan kemampuan MCA atau parti komponen BN lain, tetapi sekadar membayangkan bahawa BN kini hanya bersandarkan kepada sokongan orang Melayu. Seolah-olah sudah "berpatah hati dan berputus harap" dengan pengundi bukan Melayu, khususnya orang Cina.

Dan jika majoriti pengundi Melayu pun semakin mendekati Pakatan, khususnya PAS, termasuk menyertai HKR, saya kira itu perkembangan amat positif, 'kan? Bukankah mutakhir ini, kempen Umno -- yang nampaknya diterajui sendiri oleh Dr Mahathir Mohamad -- ghairah bermain dengan sentimen perkauman bagi mengikat sokongan orang Melayu?

No comments: